Awang Abdullah
PARTI Bersatu Sabah (PBS) meminta Parti Solidariti Tanah Airku (Star) memberi laluan kepada parti itu untuk meletakkan calon di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Paginatan pada Pilihan Raya Negeri (PRN), bulan depan.
Ketua Bahagian PBS Paginatan, Datuk Dr Othman Minuddin berkata, ia berdasarkan kedudukan kerusi itu sebagai kubu kuat PBS sejak 1985, sebelum diserahkan kepada Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (Upko) pada 2004 ketika bersama Barisan Nasional (BN).
Katanya, PBS juga mempunyai ramai ahli di kawasan itu dengan jumlahnya ketika ini kira-kira 7,000 orang membabitkan 73 cawangan.
“PBS Paginatan menyantuni jiwa sanubari rakyat akar umbi melalui program jelajah seluruh pelosok kampung dan kebanyakannya mahu PBS kembali mewakili mereka.
“Setiap tahun PBS Paginatan berjaya mengadakan Mesyurat Agung dan hampir setiap hari ada permohonan ahli baru PBS. Dengan itu kami yakin PBS akan menang di Paginatan,” katanya dalam satu kenyataan kepada media.
Kata Dr Othman, Paginatan tersenarai antara kerusi yang mahu ditandingi PBS pada PRN kali ini dan parti itu juga sudah menyiapkan jentera untuk digerakkan selepas penamaan calon pada 12 September ini.
Mengenai hasrat Star untuk meletakkan calon di kerusi itu, Dr Othman berkata, pihaknya berharap kepemimpinan parti itu memahami kehendak rakyat kawasan berkenaan yang mahu PBS mewakili mereka.
“Kita akui kerjasama erat dengan Star akan memberi kelebihan kepada calon PBS Paginatan sekiranya ada persetujuan bersama.
“Oleh kerana Star berpeluang bertanding sebanyak dua kali di Paginatan iaitu pada PRU13 dan PRU14, maka pada PRN kali ini adalah rasional bagi PBS diberikan peluang untuk bertanding.
“Kita yakin jika kerjasama politik dapat dibentuk dengan Star, maka PBS juga boleh membantu calon Star di kerusi yang mana PBS tidak berhasrat untuk bertanding,” katanya.
Sebelum ini, Presiden Star, Datuk Dr Jeffrey Kitingan mengumumkan, Star akan bertanding di Paginatan dan menamakan penyandang kerusi itu, Datuk Abidin Madingkir sebagai calonnya.
Abidin yang juga bekas Naib Presiden Upko memilih Star selepas meninggalkan kerajaan pimpinan Parti Warisan Sabah (Warisan) pada akhir bulan lalu untuk menyertai gabungan pembangkang dalam cubaan mengambil alih kerajaan negeri.

