Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memaklumkan terdapat lima kes baharu bagi Kluster Tawar hari ini, menjadikan jumlah kes dalam kluster ini sebanyak 70 setakat ini.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata kelima-lima kes baharu itu melibatkan pelajar sebuah sekolah rendah di Kedah.
“Mereka dikenalpasti melalui pengesanan kes secara aktif dan saringan kontak rapat kes-kes positif kluster ini.
“Hasil siasatan mendapati mereka adalah kontak rapat kepada kes ke-9,197 yang merupakan pelajar prasekolah (kes ini telah dilaporkan pada 16 Ogos 2020),” katanya.
Beliau berkata, sehingga jam 12 tengah hari tadi, seramai 3,547 orang disaring dalam kluster ini iaitu 3,018 di Kedah dengan 59 kes dikesan positif Covid-19; 2,717 individu negatif; dan 242 menunggu keputusan.
Di Pulau Pinang, katanya, seramai 518 orang disaring yang mana 11 kes dikesan positif Covid-19; dan 507 individu negatif.
“Perak kekal 11 saringan, di mana semua negatif dan tiada saringan baharu. Saringan kontak rapat dan aktiviti di lapangan akan diteruskan,” katanya. – Malaysia Post

