Zuraida cabar Guan Eng dedahkan kementerian terima projek ‘direct nego’

0
2

Aiman Hanif

MENTERI Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin mencabar bekas Menteri Kewangan Lim Guan Eng mendedahkan kementerian yang pernah menerima projek secara rundingan terus di bawah kerajaan Pakatan Harapan (PH).

“Kementerian mana yang terbabit, Guan Eng boleh dedahkan sebab dia yang tahu benda itu semua.

“Saya tak tahu siapa yang terbabit,” katanya ketika mengulas mengenai dakwaan Guan Eng bahawa ada beberapa kementerian menerima peruntukan rundingan terus yang diluluskannya.

Beliau ditemui media selepas menghadiri Forum Kepemimpinan Wanita sempena Hari Wanita anjuran Institut Pengurusan Wanita (WIM) di Auditorium WIM di Kuala Lumpur, hari ini.

Terdahulu di Parlimen hari ini, Guan Eng mendakwa bekas menteri yang kini bersama dengan Perikatan Nasional (PN) pernah memohon projek rundingan terus dengan Kementerian Kewangan.

Guan Eng turut mempertahankan projek rundingan terus yang dluluskannya tidak bercanggah dengan peruntukan undang-undang yang sedia ada.

Tambahnya juga, projek rundingan terus itu tidak bercanggah dengan manifesto PH.

Sementara itu, Zuraida turut mendedahkan 101 projek membabitkan nilai perolehan RM6.61 bilion yang diluluskan secara rundingan terus itu tidak pernah dibentangkan ke Kabinet.

“Saya memang tidak terbabit dalam urusan ini dan saya juga tidak ingat.

“Setahu saya, memang tidak pernah diminta kelulusan dalam Kabinet. Jadi saya tidak tahu,” katanya lagi. – MalaysiaPost