Kerajaan terap undang-undang dua darjat – Syed Saddiq

0
1

SAYA rasa jelas menunjukkan ada undang-undang dua darjat, kata Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Ini katanya, susulan kompaun RM1,000 yang dikenakan ke atas Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) kuarantin.

Jelas beliau, tindakan itu menunjukkan kerajaan Perikatan Nasional (PN) mengamalkan sikap ‘double standard’, apabila golongan miskin dan warga emas ditekan dengan hukuman penjara serta denda, manakala menteri yang melanggar Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) sekadar denda.

“Mereka yang berada dipuncak kuasa diberikan keistimewaan kompaun hanya RM1,000 walaupun melanggar PKPP pulang luar negara.

“Kita lihat kes Sivagangga, apabila dia pulang dan tidak kuarantin terus dikenakan denda RM8,000 hingga RM12,000 serta dipenjara lima bulan,” katanya selepas majlis pelepasan Konvoi Anak Muda di Bilik Gerakan Bebas, Slim River.

Kata Syed Saddiq, satu kes lagi melibatkan seorang warga emas berusia 70 tahun ke atas, disaman sebanyak RM8,000 dan dipenjara sehari kerana melanggar kuarantin kediaman.

“Tetapi apabila melibatkan seorang menteri, tidak ada hukuman penjara. Wajarkah ia dijadikan contoh kepada anak muda dan rakyat Malaysia?

“Saya ingin bertanya sebelum ini menteri kanan tiada lagi kompaun, terus tarik dan dakwa di mahkamah jadi mengapa melibatkan menteri tidak ada pendakwaan.

“Tiba-tiba ada slot khas, jalan khas iaitu kompaun khas untuk menteri iaitu RM1,000. Itu tidak masuk akal sama sekali, pelik dan ajaib,” katanya.

Beliau berharap, rakyat Malaysia melihat sendiri bagaimana undang-undang yang tidak digunapakai secara adil, apabila yang berkuasa terus berkuasa dan miskin dipijak begitu sahaja.