Aplikasi navigasi punca masuk laluan motosikal

0
1

PENGGUNAAN aplikasi navigasi dikatakan punca sebenar yang membawa pemandu kereta Toyota Vios masuk ke laluan motosikal di Lebuhraya Persekutuan berhampiran Angkasapuri pada Rabu lalu.

Memetik laporan Harian Metro, pemandu lelaki berusia 29 tahun itu adalah seorang anggota penguat kuasa.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Zulkefly Yahya berkata, anggota penguat kuasa itu dipanggil untuk siasatan.

Katanya, pemandu terbabit datang ke Balai Polis Trafik Kuala Lumpur petang semalam, untuk menyerah diri.

Dalam kejadian kira-kira jam 4 petang itu, pekerja bank berusia 29 tahun menunggang motosikal dari arah Petaling Jaya menghala ke Putrajaya terlanggar tembok kiri di bahu jalan akibat mengelak daripada melanggar kereta yang melawan arus.

Video dirakam mangsa sebelum kejadian jelas menunjukkan pemandu kereta melawan arus di laluan motosikal.

Toyota Vios berwarna putih itu secara tiba-tiba keluar dari terowong dan seterusnya menyebabkan penunggang terbabit hilang kawalan lalu terlanggar tembok, sementara pemandu kereta meneruskan perjalanan.