Bukan pulang gaji, tapi pulang jawatan

0
1

Fitri Nizam

Beliau berkata, Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali itu memulangkan gajinya bukan kerana insaf dengan kesalahan dilakukan.

Sebaliknya, beliau memulangkan semula gaji empat bulannya itu disebabkan tahu rakyat marah kerana denda RM1,000 atas kesalahan melanggar SOP kuarantin dianggap terlalu ‘manja’.

“Diskaun khas untuk kluster menteri,” kata Guan Eng sinis menerusi laman Facebooknya, hari ini.

Beliau berkata, jika dihukum seperti rakyat biasa di mahkamah, Dr Mohd Khairuddin mungkin didenda sekurang-kurangnya RM8,000 dan dipenjara.

Ini, kata Guan Eng, Ahli Parlimen Kuala Nerus itu secara automatik akan hilang kelayakan sebagai Yang Berhormat dan jawatan menteri, sekiranya dikenakan denda lebih RM2,000.

Bekas Menteri Kewangan itu mengulas salah laku Dr Mohd Khairuddin yang gagal mematuhi SOP kuarantin wajib sebaik pulang dari luar negara.

Selepas rakyat marah, beliau dikenakan tindakan denda sebanyak RM1,000 oleh Kementerian Kesihatan (KKM).

Bagaimanapun, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah sudah pun menjelaskan perkara itu malam tadi, apabila berkata, kadar kompaun RM1,000 dikenakan Kementerian Kesihatan kepada menteri itu adalah had maksimum yang ditetapkan Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1998 (Akta 342).