Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah diumumkan Tokoh Maal Hijrah peringkat Kebangsaan 1442H.
Selain itu, Sheikh Al-Azhar Al-Syarif, Sheikh Prof Dr Ahmad Tayyib pula diumumkan Tokoh Antarabangsa Maal Hijrah 1442H.
Pengumuman itu dibuat Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri pada Majlis Sambutan Maal Hijrah peringkat Kebangsaan Tahun 1442H/2020M di Masjid Negara, Kuala Lumpur, hari ini.
Menurut Dr Zulkifli, pemilihan kedua-dua tokoh itu dibuat berdasarkan sumbangan besar mereka dalam memartabatkan Islam di peringkat nasional dan global.
Tambahnya lagi, sumbangan tokoh-tokoh yang diangkat juga diiktiraf pelbagai pihak di dalam negara serta di peringkat antarabangsa.
Menerusi anugerah yang disampaikan, tokoh Maal Hijrah Kebangsaan dan Antarabangsa masing-masing menerima pingat serta sijil penghargaan dari kerajaan Malaysia.
Anugerah tersebut disampaikan oleh Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah.
Juga turut berkenan berangkat, Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.
Sambutan Maah Hijrah kali ini bertemakan ‘Ummah Rabbani Negara Harmoni’, yang membawa pengertian menguruskan penghijrahan yang berlaku dalam masyarakat memerlukan kepada kekuatan modal insan, ilmu dan pengetahuan serta kecekapan pengurusan.

