Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) mengutus surat pelawaan penajaan kepada usahawan kosmetik, Datuk Seri Aliff Syukri Kamarzaman untuk menaja skuad Hijau Kuning.
Presidennya, Muhammad Sanusi Md Nor berkata, surat itu dihantar minggu lalu untuk mempelawa Aliff Syukri meneliti rundingan terma dan syarat sekiranya kedua-dua pihak mencapai persetujuan.
“Saya sudah tandatangani surat itu dan dihantar minggu lalu. Datang berunding dan kita mahu lihat apa manfaat yang kita dapat, kalau secara sukarela, alhamdulillah.
“Kalau beliau minta apa-apa yang boleh kita tunaikan, kita tunaikan. Kalau minta sesuatu yang tidak boleh kita berikan, kita akan berhenti setakat itu saja,” katanya memetik laporan Sinar Harian.
Sebelum ini dilaporkan, pengasas produk D’Herb itu mengakui masih berminat dengan skuad Lang Merah dan mahu menjadi pemilik pasukan itu seperti dinyatakan syarat penswastaan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).
Sementara itu, Muhammad Sanusi yang juga Menteri Besar Kedah berkata, apa yang KFA lakukan itu menunjukkan keseriusan untuk berunding dengan sesiapa sahaja yang berminat dan tidak mahu hanya sekadar menjadi tajuk di dada akhbar.
“Ada yang tunjukkan maklum balas positif, ada yang senyap. Kita tetap akan teruskan perjuangan untuk mantapkan KFA dan pasukan,” katanya.

