Pengurusan Rangkaian Restoran Ali Maju Sdn Bhd memaklumkan cawangan Wisma Rampai sudah diberi notis kebenaran buka semula oleh Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur hari ini.
Pemiliknya, Datuk Jawahar Ali Taib Khan, berkata ia sekali gus menyelesaikan kontroversi penutupan premis terbabit selepas dua pekerjanya disyaki positif Covid-19, Sabtu lalu.
“Pengurusan Rangkaian Restoran Ali Maju Sdn Bhd ingin mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang memberikan kerjasama baik dalam isu ini.
“Sebelum ini cawangan restoran di Wisma Rampai menjalani ujian secara rawak oleh Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur yang kemudiannya mengarahkan penutupan restoran kerana pekerja terbabit disyaki positif,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Jawahar berkata kesan mesej tular itu, pihaknya menerima banyak pertanyaan daripada orang ramai berhubung situasi sebenar yang menjejaskan perniagaan di semua cawangan Restoran Ali Maju.
Katanya, semua cawangan restoran sudah pun disanitasi seperti mana Prosedur Operasi Standard dikeluarkan pihak berwajib ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
“Sebagai komitmen serta teladan kepada pekerja, saya sendiri sudah menjalani saringan Covid-19 sebanyak dua kali dan Alhamdulillah, didapati negatif.
“Dengan pembukaan semula cawangan ini, semua rangkaian restoran kami beroperasi seperti biasa,” katanya.
Baru-baru ini, beliau mengesahkan pihaknya menerima notis penutupan yang tular di salah sebuah cawangan restoran itu di Wisma Rampai.

