Bakar tahfiz: Pengetua sudah lama maafkan pelaku, harap jadi insan berguna

0
1

Muhammad Mustakim Ramli

“Kita harap dengan keputusan (mahkamah), dia menjadi insan yang berguna pada agama,” kata Pengetua Pusat Tahfiz Darul Ittifaqiyah, Mohd Zahid Mahmood.

Beliau berkata, bagi pihak pusat tahfiz itu, beliau sudah lama memaafkan pelaku yang mengakibatkan kematian 23 penghuni pusat tahfiz terbabit.

“Diharapkan keputusan ini mendatangkan kebaikan kepada beliau.

“Bukan dengan dijatuhkan hukuman itu mendatangkan keburukan kepada beliau. Ia tidak.

“Pengharapan kita mendatangkan kebaikan dunia dan akhirat kepadanya,” katanya ketika ditemui Malaysia Post hari ini.

Pengetua Pusat Tahfiz Darul Ittifaqiyah, Mohd Zahid Mahmood.

Semalam, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mensabitkan seorang remaja lelaki bersalah membunuh 23 individu dalam kebakaran di Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah, Kuala Lumpur, hampir tiga tahun lalu.

Hakim Datuk Azman Abdullah menjatuhkan hukuman penjara terhadap remaja itu yang kini berusia 19 tahun sehingga mendapat pengampunan Yang di-Pertuan Agong (YDPA).

Keputusan itu dibuat selepas berpuas hati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah.

Mengulas lanjut, Mohd Zahid berkata keputusan itu adalah yang terbaik buat semua pihak.

“Ia sudah tertulis sejak di Luh Mahfuz lagi, ini adalah keputusan Allah, keputusan mahkamah adalah keputusan terbaik buat semua pihak,” katanya.