Hanya dengan menggunakan cap jari, terhasil satu potret bapa kemerdekaan negara, Tunku Abdul Rahman yang juga Perdana Menteri Malaysia pertama.
Ia dihasilkan pelukis potret tempatan, Vivian Ng Suet Yuan yang menyifatkan cap jari sebagai identiti kepelbagaian budaya di Malaysia, selain metafora tepat untuk menggambarkan karya yang dihasilkannya.
Mengangkat tema ‘Hargai Keharmonian’, Suet Yuan berjaya menyiapkan karya tersebut dalam masa lima hari dengan menggunakan ibu cap jari tangannya.
Lebih menarik lagi, dia mengilhamkan warna kuning, hitam dan merah bagi menggambarkan bangsa Melayu, India dan Cina.
“Ini adalah potret cap jari saya yang pertama. Tunku Abdul Rahman adalah Bapa Malaysia. Saya harap kita akan selalu ingat apa yang telah beliau sumbangkan kepada negara 63 tahun yang lalu (pengistiharan kemerdekaan).
“Saya bukan ahli politik, saya juga tidak boleh membuat banyak perubahan atau mengharapkan sebarang perubahan. Tetapi saya boleh menggunakan tangan saya untuk memberi penghormatan kepada bapa pengasas Malaysia,” katanya seperti dilaporkan The Star.

Wanita berusia 28 tahun dari Bentong, Pahang itu adalah pengasas Galeri Niuniu dan dia juga pernah menyambung pengajian dalam bidang seni bina dan reka bentuk serta mempunyai Ijazah Sarjana Seni Bina Landskap Universiti Leeds Beckett, England.
Selain melukis dan menguruskan galeri, dia bertugas sebagai pensyarah di salah sebuah kolej di Petaling Jaya.
Antara karya-karya pemimpin terkenal negara yang dihasilkannya termasuk potret Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.
Selain itu, dia juga menghasilkan potret Tun Tan Cheng Lock dan Tun VT Sambanathan yang pernah menemani Tunku Abdul Rahman ke Britain untuk berunding menuntut kemerdekaan.
Orang ramai yang berminat untuk melihat karya hasil lukisan Suet Yuan boleh mengunjungi Galeri Niuniu yang terletak di Sungai Chua, Kajang, Selangor.
Kredit Foto: Niuniu Galeri

