Muhammad Afiq
Tindakan penyokong BN “boo” pemimpin Armada pada program sayap parti di Pilihan Raya Kecil (PRK) Dun Slim, di Tanjung Malim, hari ini adalah sesuatu yang tidak wajar berlaku.
Setiausaha Agung BN, Tan Sri Annuar Musa dalam ciapannya di Twitter memohon maaf di atas insiden yang berlaku.
“Saya harap ia tidak benar, jika benar ia amat tidak wajar. Mungkin kerana suasana ‘gallery’ dan ada yang ‘play to the gallery’.
“Penyatuan bukan sesuatu yang mudah, namun kita harus sabar.
“Perkukuhkan solidariti, maaf kiranya ada yang tak kena.Kita tumpu PRK secara berpasukan,” ciap Annuar petang ini.
Sebelum itu media melaporkan wakil Armada di ‘boo’ ketika berada di atas pentas pada majlis pelancaran jentera Pemuda BN Perak.
Insiden yang berlaku dua kali itu jelas menunjukkan penyokong Pemuda BN yang hadir tidak berpuas hati dengan sayap Bersatu itu.
Insiden pertama bermula apabila Pengerusi Pemuda BN, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki sedang memperkenalkan barisan wakil parti komponen seperti Pemuda MCA, MIC dan PAS sebelum menyebut nama Armada yang terus menerima sorakan ‘boo’.
Insiden kedua pula, sorakan sama diterima wakil Armada itu apabila Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyebut nama parti itu.
Memetik laporan Malaysia Gazette, salah seorang wakil Armada yang berada di atas pentas itu adalah Ketua Armada Perak, Mohd Hafez Mubin Mohd Salleh.

