Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Seri Mohd Shafie Apdal diberi amaran supaya tidak terus berbohong mengenai pemberian hak milik tanah rakyat di negeri itu.
Amaran tersebut dikeluarkan Ketua Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor, yang mendakwa tindakan itu tidak lain bertujuan untuk mendapatkan undi dan sokongan rakyat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) ini.
Menurutnya, Mohd Shafie memberitahu rakyat Sabah, hak milik tanah yang diserahkan dalam lawatannya dari daerah ke daerah itu adalah inisiatif kerajaan negeri pimpinan parti Warisan.
“Hak milik tanah yang diserahkan Mohd Shafie kepada rakyat sebenarnya telah disiapkan lebih awal melalui Unit Peribumi Bergerak (PANTAS) yang dimulakan oleh kerajaan dahulu, iaitu Barisan Nasional (BN).
“PANTAS adalah usaha dan inisiatif kerajaan sebelumnya, untuk membantu mempercepat pengeluaran hak milik tanah kepada rakyat Sabah dengan dana dari Kerajaan Persekutuan berikutan kelewatan yang dihadapi dalam proses tinjauan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Pendekatan itu diambil untuk memastikan penerbitan geran tanah Hak Asasi Asli (NT) bagi mereka yang mendiami tanah Hak Adat Anak Negeri (NCR) dapat dipercepatkan untuk mengatasi kelewatan.
Menurut Hajiji, pemberian tanah adat telah diproses melalui program PANTAS, tetapi kerajaan sebelumnya kehabisan waktu sehingga tidak dapat menyerahkannya kepada rakyat, dan sekarang diserahkan oleh Mohd Shafie yang kemudian mendakwa ia adalah inisiatif kerajaan pimpinannya, Warisan.
“Ini bohong. Mohd Shafie harus berhenti menggunakan pemberian hak milik tanah adat untuk mendapatkan sokongan rakyat kerana sekarang populariti dan sokongan parti Warisan dari masyarakat terus berkurangan.
“Beliau kini sibuk menyerahkan pemberian tanah setelah membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN), yang jelas dilihat putus asa dalam melakukannya kerana kepercayaan dan sokongan orang ramai telah terhakis terhadap kerajaan Warisan,” katanya.
Hajiji yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sulaman menyatakan, rakyat Sabah tidak buta, dan mereka tahu PANTAS yang diwujukan sejak 2011 adalah inisiatif kerajaan BN.
Tambahnya, tindakan Ketua Menteri itu melakukan penyerahan hak milik tanah melalui lawatan khas ke daerah di seluruh Sabah dilihat seperti ingin meraih kembali sokongan rakyat negeri itu.
Selama ini, PANTAS berjaya menyelesaikan masalah kerja tinjauan NCR negeri seluas 36.137 hektar tanah pada akhir tahun 2017.
Ia melibatkan 21,378 lot tanah di 92 kampung di 16 daerah seluruh negeri, yang kebanyakannya berada di kawasan luar bandar dan pedalaman seperti Beaufort, Tuaran, Ranau, Kota Marudu, Sipitang dan Semporna.
Daerah lain ialah Beluran, Kinabatangan, Tongod, Nabawan, Papar, Kudat, Sandakan, Keningau, Lahad Datu dan Tawau, di mana kerja tinjauan dilakukan oleh 80 pasukan juruukur yang dilantik Jabatan Tanah dan Ukur (JT) Sabah.
Foto : NST

