Kluster Sala pula dikesan di Kedah

0
1

Muhammad Mustakim Ramli

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesan kluster baharu di daerah Yan, Kedah membabitkan seorang lelaki yang dikesan positif Covid-19, kelmarin.

Menerusi kenyataan di Facebook, KKM memaklumkan kes pertama kluster Sala itu dikesan pada 13 Ogos lalu, iaitu bagi kes ke 9,148.

“Ia dikesan melalui sistem survelan klinikal Severe Acute Respiratory Infection (SARI) di Hospital Sultanah Bahiyah, Kedah. 

“Aktiviti pengesanan kes secara aktif (Active Case Detection) dan saringan kontak rapat telah dijalankan 14 Ogos lalu, dan kes dikesan positif pada hari ini. 

“Ketiga-tiga kes yang dilaporkan itu adalah ahli keluarga kepada kes pertama (kes ke-9,148),” katanya.

KKM memaklumkan, sehingga hari ini 80 kontak rapat lelaki itu telah disaring dan dari jumlah itu, empat kes dikesan positif Covid-19, manakala 76 individu masih menunggu keputusan.

Semua kes bagi kluster itu adalah warganegara Malaysia.

KKM memaklumkan, pengesanan kes secara aktif sedang diteruskan dan langkah pencegahan serta pembendungan jangkitan seperti proses pembersihan serta nyah kuman telah dijalankan di lokasi yang dikenalpasti. 

“Punca jangkitan masih dalam siasatan,” kata KKM.