Keputusan Bersatu sertai MN luar biasa – Mukhriz

0
1

Datuk Seri Mukhriz Mahathir menyifatkan keputusan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menyertai Muafakat Nasional (MN) untuk bersama Umno dan PAS sebagai luar biasa.

Bagaimanapun, kata bekas Timbalan Presiden Bersatu itu,  mengikut amalan parti politik, sesiapa yang menjawat jawatan Perdana Menteri akan dilantik sebagai pengerusi kepada gabungan politik terbesar itu.

“Hari ini diberitahu pula Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin bersetuju menyertai MN. Ini satu perkara luar biasa kerana biasanya Perdana Menteri itu, pengerusi kepada gabungan yang terbesar.

“Tetapi saya tak tahu adakah MN akan setuju mengangkat Muhyiddin sebagai Pengerusi MN kerana Bersatu adalah adik bongsu mereka jika diterima masuk,” katanya memetik laporan BH.

Terdahulu, Muhyiddin dalam amanatnya kepada ahli Bersatu sempena persidangan Armada Nasional, Srikandi dan bahagian seluruh negara, mengumumkan Majlis Tertinggi parti itu setuju untuk menyertai MN.

Muhyiddin berkata, penyertaan dalam gabungan itu adalah pilihan terbaik untuk Bersatu kerana berada dalam satu jemaah besar atau ‘the grand coalition’ yang menghimpunkan parti utama Melayu di negara ini.

Mengulas lanjut, Mukhriz berkata, beliau tidak pasti apakah impak yang berlaku kepada politik negara terutama menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) jika Bersatu diterima menyertai MN.

Selama ini kita diberitahu Perdana Menteri hendak menubuhkan Perikatan Nasional (PN), malah setiap kali disebut di Parlimen, semua Ahli Parlimen mewakili kerajaan menggelarkan diri mereka sebagai kerajaan PN.

“Pada masa sama, kita tahu PN itu tidak berdaftar dan terbaru pula kita dengar Umno tidak sudi sertai PN, manakala PAS, saya tidak pasti pendirian mereka,” katanya.