MBSA ‘mengamuk’, tauke judi senyum

0
2

Muhammad Afiq

[Sudut Pandang] Pihak berkuasa tempatan (PBT) “makan suap” ini bukanbenda baharu, bahkan berlaku sejak puluhan tahun dulu.

Kadang-kadang kita sakit hati, bila salah parkir kereta sikit, mungkin untuk lima minit, kereta terus ditarik melayang beratus ringgit.

Tapi kita selalu tengok bagaimana kereta rosak di kawasan parkir dibiarkan begitu saja oleh pemilik bengkel tanpa “diganggu” pihak berkuasa.

Begitu juga dengan restoran-restoran yang membuka meja di lot-lot parkir tanpa pelu rasa risau kerusi mejanya kena angkut.

Lebih dari itu, pusat judi haram dan warga asing berniaga secara selamba atas kaki lima tanpa perlu rasa takut membuatkan kita sebagai orang tempatan berasa marah.

Ini semua berlaku kerana mereka telah “payung” pihak berkuasa tempatan ini, bukan sedikit tapi nilainya ribuan ringgit, malah ada yang puluhan ribu, lihat pada perniagaan yang dilindungi.

Apalah sangat ribuan ringgit wang perlindungan kepada pihak berkuasa berbanding keuntungan yang diraih setiap hari melalui perniagaan mesin judi misalnya.

Akhirnya apabila Asri Janggut mendedahkan aktiviti jahat itu, terus Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) mengamuk. 

Ya, mengamuk mungkin “balas dendam” kerana pendedahan itu membuatkan penguatkuasanya diberkas dan ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Kenapa perlu mengamuk dan menganiayai peniaga lain, ada tangkapan oleh SPRM bermakna memang wujud penyelewengan dalam MBSA yang bertindak melindungi pusat perjudian.

Tiada masalah jika MBSA mahu balas dendam dengan mengambil tindakan terhadap “premis haram” lain seperti mana premis judi haram, namun berlaku adillah.

Jika pihak kamu boleh melindungi kerja-kerja haram sejak bertahun-bertahun, janganlah notis 24 jam dikeluarkan terhadap premis perniagaan yang melanggar peraturan MBSA.

Mana sempat untuk peniaga bertindak mengosongkan premis atau melakukan pindaan terhadap sesuatu perkara yang melanggar peraturan ini.

Kalau bertahun kamu boleh bertoleransi dengan premis judi haram dan perniagaan warga asing, mengapa tidak dengan orang tempatan yang mencari sesuap nasi ketika dilanda kesulitan akibat Covid-19.

Tindakan MBSA ini bukan saja balas dendam, malah ia juga dilihat bertujuan untuk menimbulkan kebencian peniaga lain kepada Asri Janggut yang mendedahkan “kemungkaran” pihak berkuasa lakukan. 

Lebih malang lagi, tindakan pihak berkuasa yang “bermaharajalela” ketika ini umpama Selangor tiada kerajaan dan Menteri Besar yang boleh mengerahkan PBT bertindak dengan waras.

Skrip roboh pusat judi oleh PBT ini bukanlah baru, “drama” ini selalu dimainkan, namun berapa ramai sudah “tauke-tauke judi haram” ini ditahan? 

Inilah “kejahatan” yang PBT lakukan.