Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim menyaksikan pertandingan tiga penjuru apabila calon BN bakal ditentang dua calon Bebas.
Timbalan Ketua Umno Bahagian Tanjung Malim, Mohd Zaidi Aziz, 43, diumumkan sebagai calon BN bagi mempertahankan kerusi DUN yang dimenangi BN dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) lalu.
Pegawai Pengurus Pilihan Raya, Shamsul Ridzuan Idris pada jam 10.35 mengumumkan nama calon yang bertanding.
Proses mengemukakan kertas pencalonan bagi PRK DUN Slim bermula tepat 9 pagi tadi.
Calon Bebas yang ditaja Tun Dr Mahathir Mohamad iaitu, Amir Khusyairi Mohamad Tanusi, 38 pula akan menggunakan lambang pokok.
Amir Khusyairi pula akan muncul sebagai calon nombor satu di atas kertas undi, manakala calon BN- nombor dua.
Seorang lagi calon Bebas ialah ahli akademik Santhara Sekaran Subramaniam yang menggunakan logo buku disenarai pada nombor tiga kertas undi.
Proses penamaan calon di Dewan Sri Tanjong Majlis Daerah Tanjong Malim (MDTM) di sini ditutup pada jam 10 pagi.
PRK DUN Slim diadakan berikutan kematian penyandangnya Allahyarham Datuk Mohd Khusairi Abdul Talib pada 15 Julai. Pengundian ditetapkan pada 29 Ogos.
Pada PRU14, Mohd Khusairi yang mewakili BN menang dengan majoriti 2,183 undi menewaskan calon Bersatu yang bertanding atas tiket PKR, Mohd Amran Ibrahim dan calon PAS, Muhammad Zulfadli Zainal.

