Dua Datuk direman kes projek pembalakan bernilai lebih RM27 juta

0
2

Dua individu bergelar Datuk direman bagi membantu siasatan berhubung kes rasuah membabitkan projek pembalakan bernilai lebih RM27 juta.

Seorang dari suspek adalah bekas timbalan pengerusi syarikat berusia 65 tahun direman selama empat hari bermula hari ini sehingga 18 Ogos ini.

Seorang lagi iaitu bekas ketua pegawai eksekutif berusia 40 tahun direman lima hari mulai hari ini sehingga 19 Ogos ini. 

Perintah reman dikeluarkan Majistret Shah Wira Abdul Halim di Mahkamah Majistret Putrajaya, dan kes disiasat mengikut Seksyen 16 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) 2009.

Memetik laporan BH, sumber dilaporkan berkata, mereka ditahan ketika memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya pada jam 5 petang dan 10.20 malam semalam.

Semalam, media melaporkan SPRM mendapat perintah reman terhadap tiga individu termasuk seorang bergelar Datuk bagi membantu siasatan kes yang sama.

Mereka disyaki terbabit dalam kesalahan memberi dan menerima rasuah berjumlah RM3 juta berkaitan projek pembalakan bernilai RM27 juta di sebuah daerah di Pahang seluas 6,591.67 ekar sekitar tahun 2015.