Tanah Merah, Kelantan pernah jadi lokasi Dinasour- UMK

0
2

Pasukan penyelidik Jabatan Geosains, Fakulti Sains Bumi (FSB), Universiti Malaysia Kelantan (UMK) mendakwa telah berjaya menemui kesan tapak kaki Dinosaur  dipercayai daripada kumpulan spesis Sauropod berusia 145 tahun hingga 66 juta tahun itu, di Bukit Panau, Tanah Merah, Kelantan.

Penemuan fosil tersebut adalah hasil kajian ekplorasi geosains oleh pasukan penyelidik UMK yang diketuai oleh Pensyarah FSB, Arham Muchtar Achmad Bahar, Prof Surono Martosuwito, Prof Udi Hartono dan dibantu Mohd Syakir Sulaiman.

Menurut Arham Muchtar, aktiviti dan penyelidikan itu telah bermula pada Mei tahun 2017 dan telah berjaya menemukan fosil tapak dan  laluan trek Dinosaur dari subgrup Saurapod.

“Lanjutan daripada penemuan itu, kami telah menerbitkan jurnal ilmiah bertajuk ‘The Saurapod Dinosaur Trackways from Tanah Merah,  Kelantan’, sempena dengan penganjuran Conference on Tropical Resources & Sustainable Sciences (CTRESS) 2.0 secara atas talian pada 10 dan 11 Ogos 2020.

“Penemuan ini membuktikan bahawa satu masa dulu dijangka antara 160 hingga 66 juta tahun yang lepas,  Dinosaur pernah hidup di lokasi yang sekarang kita kenal sebagai Tanah Merah Kelantan.  

“Ini adalah salah satu penemuan dari banyak penemuan lain hasil  aktiviti eksplorasi dan penyelidikan yang kami laksanakan di Kelantan. 

“Kami telah menemui tujuh tapak kaki fosil spesis Sauropod berukuran purata 72 sentimeter panjang dan lebar dengan purata 66 sentimeter yang tercetak di atas Batu Pasir Kuarsa dari Formasi Panau seluas 60 meter persegi,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau menjangkakan fosil Sauropod yang ditemui itu berusia antara 65 hingga 160 juta tahun lepas iaitu pada kala Jura akhir sehingga Kapur awal. 

Tambahnya lagi, pasukannya juga telah mengenal pasti bahawa tujuh tapak kaki fosil Dinosaur ‘Sauropod’ ini adalah sejenis reptilia berkaki empat daripada spesis herbavivor iaitu hidupan yang memakan tumbuh-tumbuhan.

“Berdasarkan bukti tapak kaki dijangka haiwan ini dahulu memiliki tubuh yang besar dengan tulang belakang setinggi sembilan meter, panjang sehingga 22 meter dan berat sekitar 30 sehingga 40 tan. Spesis Dinosaur Sauropod dikenal juga sebagai haiwan terbesar yang pernah hidup di muka bumi ini.

“Kejayaan ini amat bermakna bagi UMK terutamanya dengan penubuhan Jabatan Geosains, FSB yang menjalankan penyelidikan ke atas hidupan dinosour ini.

“Para penyelidik telah menghabiskan masa lebih 10,000 jam menyiasat dan menjejak Dinosaur di Kelantan,” katanya.

Dalam pada itu katanya, berdasarkan penemuan ini kami mengenal pasti fosil Sauropod ini berdasarkan morfologi tapak kaki dan kesan trek yang dijumpai kemudian mendapat pengesahan daripada pakar Dinosaur Dunia yang berasal daripada Jepun.

Katanya, mengikut kepada keadaan struktur muka bumi dan geologi di kawasan Bukit Panau kami mendapati bahawa Saurapod ini hidup pada persekitaran daratan khususnya di sekitar sungai berliku. Sehingga kini kami belum dapat menentukan spesies Sauropod ini sebab data yang diperlukan masih belum mencukupi.

“Aktiviti penyelidikan dan pencarian Dinosaur di kawasan ini bukan perkara baru kerana sekurang kurangnya sejak tahun 2016, pihak kami telah melaksanakan beberapa kajian samada oleh ahli geologi daripada dalam mahupun luar negara.

“Kewujudan Dinosaur di Bukit Panau sudah dijangka oleh banyak ahli geologi berdasarkan keadaan geologi yang dapat dikaitkan dengan beberapa kawasan di Thailand Selatan yang mengandungi fosil Dinosaur.

“Kami mengharapkan dalam masa terdekat semua pihak dapat memberi kerjasama yang positif bagi meneruskan kajian ini. Kami percaya masih ada beberapa lagi jenis fossil Dinosaur yang masih tersimpan dalam batuan di Bukit Panau,” katanya.