[Jenayah] Polis menyiasat dakwaan seorang rakyat Malaysia terlibat dengan kegiatan menjual organ di peringkat antarabangsa.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, pihak berkuasa sedang menjejaki individu terbabit yang menggunakan sosial media untuk mengumpan mangsa.
“Kebanyakan mangsa adalah golongan miskin di seluruh dunia dan siasatan sedang dijalankan,” katanya memetik laporan portal Freemalaysiatoday hari ini.
Difahamkan individu terbabit, yang dikatakan rakyat Malaysia, telah memberitahu aktiviti penjualan organ yang dilakukannya di sebuah akhbar di United Kingdom, The Sun.
Lelaki itu secara terbuka membuat kenyataan mengatur “pakej” pemindahan organ bernilai £85,000 (RM465,000) untuk pelancong British, termasuk rasuah bagi pemindahan buah pinggang yang dijalankan di Filipina.
“Di Manila, wang berkuasa,” katanya lagi.
Lelaki itu juga menyatakan mempunyai lebih 100 penjual buah pinggang yang berpotensi di seluruh dunia dan mendakwa telah mendalangi 45 penjualan buah pinggang secara haram.

