Asri Janggut disiasat kerana kenyataan hina PDRM, ATM

0
2

Fitri Nizam

Polis membuka dua kertas siasatan terhadap Pengasas Hot Burger Malaysia, Mohd Asri Hamid selepas menerima dua laporan berhubung kenyataannya yang dianggap menghina Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Timbalan Pengarah (Siasatan/Perundangan) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Deputi Komisioner Mior Faridalathrash Wahid, ketika mengesahkan perkara itu berkata siasatan dijalankan susulan laporan diterima pihaknya.

“Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 505 (c) Kanun Keseksaan kerana kenyataan yang mendatangkan khianat awam dan Seksyen 233 Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia.

“Kertas siasatan itu dibuka susulan laporan polis yang dibuat di Balai Polis Travers dan Balai Polis Jalan Tun Razak, hari ini,” katanya ketika dihubungi.

Mior berkata, Asri akan dipanggil untuk diambil keterangannya dalam masa terdekat.

“Kita akan panggil dia dalam minggu ini,” katanya.

Menurut sumber, Asri didakwa mengeluarkan kenyataan yang dianggap menjatuhkan maruah pasukan polis dan tentera hingga boleh menyebabkan masyarakat memandang serong terhadap kredibiliti pasukan keselamatan itu.

“Asri dilaporkan menyatakan bahawa anggota polis dan tentera tidak menjaga solat.

“Kenyataan itu telah mengguris hati pasukan keselamatan terbabit,” katanya.