Pakai baju oren atas budi bicara penyiasat

0
1

Tiada berat sebelah mana-mana pihak, kami telus dan profesional, kata Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Azam Baki.

Ia bagi menepis tohmahan pihak tidak bertanggungjawab terhadap SPRM dalam mengendalikan kes membabitkan bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng.

Azam berkata, pemakaian baju reman SPRM adalah bergantung kepada budi bicara pegawai penyiasat kes berkenaan.

“Mana-mana pegawai penyiasat (yang) gunakan baju lokap warna oren (kepada individu) adalah bawah budi bicara pegawai penjaga lokap dan pegawai penyiasat.

“Hal ini sudah saya ulang banyak kali, dia (pakai baju reman SPRM) terpulang kepada budi bicara berkenaan,” katanya seperti dilaporkan Berita Harian.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas dakwaan Guan Eng yang beliau diminta memakai baju reman SPRM berwarna jingga, berbanding bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, ketika disiasat.

Pada 8 Ogos lalu, Guan Eng menerusi status Facebook, berkongsi pengalaman ditahan dalam lokap SPRM di Putrajaya sebelum didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.

Beliau juga mendakwa terpaksa menukar pakaian baju jingga SPRM dan tidur dalam bilik lokap yang sempit tanpa bantal atau tilam.

Guan Eng dalam statusnya, turut mendakwa Najib tidak perlu bermalam walaupun sehari di dalam lokap.

Malah, beliau menyatakan sama ada apa yang berlaku itu pilih kasih atau sebaliknya, hanya SPRM boleh menjawab.