Seorang lagi anggota penguat kuasa Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) ditahan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), susulan pendedahan aktiviti judi haram dan penjualan rokok seludup di Sungai Buloh.
Penahanan terbaharu itu menjadikan empat suspek telah ditahan setakat ini kerana disyaki menerima rasuah bagi melindungi premis perniagaan tanpa lesen di Sungai Buloh lapor Bernama.
Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya berkata, suspek keempat adalah anggota penguat kuasa dari Cawangan Sungai Buloh.
Katanya, suspek berusia 39 tahun ditahan di ibu pejabat SPRM Putrajaya pada jam 5 petang tadi selepas memberi keterangan berhubung kes berkenaan.
“Suspek menerima rasuah antara RM300 hingga RM3,500 sebulan yang dikutip untuk sebuah premis perniagaan di Sungai Buloh.
“Kemudian suspek membahagikan wang kutipan itu kepada tiga lagi rakannya yang ditahan sebelum ini,” katanya sambil menambah suspek akan direman di Mahkamah Majistret Putrajaya, pagi esok.
Pagi tadi, SPRM menahan tiga penguat kuasa MBSA kerana dipercayai mengutip dan menerima rasuah secara bulanan bagi melindungi premis perniagaan tanpa lesen sekitar Sungai Buloh.
Mereka terdiri dua penguat kuasa Cawangan Sungai Buloh dan seorang dari Shah Alam, manakala seorang peniaga rokok seludup berketurunan Aceh turut ditahan kerana tiada dokumen dan akan diserah kepada Jabatan Imigresen bagi tindakan lanjut
Lelaki Aceh itu dikatakan membayar RM300 sebulan kepada penguat kuasa bagi mengelak sebarang tindakan.
Tangkapan itu susulan pendedahan yang tular di media sosial berkaitan aktiviti judi haram dan penjualan rokok seludup di sekitar Sungai Buloh.

