Kalau Umno cepat jatuh hukum, bila DAP kononnya pendakwaan terpilih

0
1

Ketua Pemuda Umno, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki menempelak DAP kerana begitu cepat ‘jatuh hukum’ terhadap pemimpin Umno dan keluarga walaupun kes belum disabitkan di mahkamah.

“Apabila ada kepimpinan DAP sehingga ke peringkat isteri didakwa, cepat buat tuduhan sesuka hati kononnya pendakwaan terpilih, bahkan atas dasar dendam, sedangkan mahkamah belumpun mula bicara.

“Prinsip kedaulatan undang-undang, ‘rule of law’ dan ‘innocence until proven guilty terpakai kepada semua.

“Hormatilah institusi mahkamah dan biarlah proses undang-undang berjalan dan mengambil tempatnya,” katanya menerusi kenyataan malam ini.

Petang tadi, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng menerusi hantaran di Facebook berang kerana isterinya, Betty Chew didakwa di mahkamah semata-mata kerana pekerjaannya sebagai perunding perundangan.

Bekas ketua menteri Pulau Pinang itu turut menyifatkan tindakan melibatkan ahli keluarganya sebagai politik balas dendam.

“Saya berasa marah kerana isteri saya didakwa semata-mata kerana pekerjaannya sebagai perunding perundangan.

“Mengapa mengheret isteri saya ke dalam isu ini sedangkan selama ini dia berusaha sendiri sebagai peguam untuk mencari pendapatan halal?,” katanya.