TEMCO: Lagi sekolah ditutup di Kuala Sanglang

0
2

Sebuah lagi sekolah di Kuala Sanglang, Perlis diarah tutup berikutan terletak di dalam kawasan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Secara Pentadbiran (TEMCO).

Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Perlis, Naharudeen Othman, berkata Sekolah Jenis Kebangsaan (SJKC) Chin Hun adalah sekolah ketiga ditutup di daerah itu dengan semua guru diarahkan untuk menjalani perintah kuarantin di rumah.

“Sesi pembelajaran sekolah berkenaan boleh dibuat secara dalam talian atau penjaga murid boleh ke pondok pengawal sekolah bagi mengambil kerja rumah yang ditinggalkan oleh pihak sekolah.

“Pihak Majlis Keselamatan Negara (MKN) mengeluarkan arahan kepada guru untuk menjalani perintah HIO, jadi tiada guru yang boleh hadir untuk mengajar,” katanya seperti dilapor BH.

Naharudeen berkata pihaknya masih menunggu arahan daripada MKN berdasarkan situasi semasa penularan wabak dan setakat ini tiada belum ada sebarang arahan dikeluarkan.

Sebelum ini, dua sekolah iaitu Sekolah Kebangsaan Sanglang dan Sekolah Menengah Kebangsaan Sanglang ditutup berikutan mempunyai kontak rapat dengan pesakit Covid-19.