PRN Sabah: Hajiji calon ketua menteri

0
2

[PRN Sabah] Ketua Badan Pimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Sabah, Datuk Hajiji Noor dinamakan calon ketua menteri jika parti itu mendapat majoriti besar pada Pilihan Raya Negeri (PRN) nanti.

Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin, bagaimanapun menjelaskan perkara itu belum dibincang dalam kalangan parti gabungan Perikatan Nasional (PN) di negeri itu.

“Pilihan awal Bersatu ialah Hajiji walaupun perkara itu masih belum dibincangkan.

“Sudah tentu Umno juga mempunyai calonnya sendiri, begitu juga Parti Bersatu Sabah (PBS) dan Parti Solidariti Tanah Airku (Star).

Kami akan membincangkan siapa yang menjadi pilihan tepat untuk menerajui kerajaan negeri,” katanya pada sidang media di Kota Kinabalu, semalam.

Berikutan itu, Hajiji yang juga penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sulaman dijangka terus mempertahankan kerusi berkenaan yang didudukinya selama lebih enam penggal.

Beliau memenangi kerusi berkenaan atas tiket Barisan Nasional (BN) mewakili Umno bermula pada PRN 1990 sehingga Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) pada 2018.

Berikutan perubahan politik selepas PRU14, Hajiji mengetuai 14 wakil rakyat Umno Sabah, masing-masing sembilan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) dan lima Ahli Parlimen keluar Umno pada Disember 2018.

Mereka kemudian memohon menyertai Bersatu dan Hajiji dilantik sebagai Ketua Badan Pimpinan Bersatu negeri selepas parti itu secara rasmi melebarkan sayap ke Sabah pada April 2019.

Sementara itu, Hamzah berkata Bersatu Sabah bersetuju mengurangkan jumlah kerusi yang mahu ditandingi pada PRN nanti berbanding 45 yang diumumkan Hajiji sebelum ini.

Katanya, keputusan itu mengambil kira kerjasama dengan parti lain di bawah PN termasuk Umno bagi memastikan tumpuan utama merampas kerajaan negeri daripada Parti Warisan Sabah (Warisan) tercapai.