“Rakyat cuma pelapik dan alasan,” kata Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Tan Sri Annuar Musa berhubung penubuhan parti baru menjelang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Menteri Wilayah Persekutuan itu berkata, banyak parti politik baru yang muncul ketika ini dan ia pastinya membawa isyarat bahawa PRU semakin hampir.
“Banyak parti politik tumbuh bermakna PRU semakin hampir. Perjuangan ikut nawaitu masing-masing.
“Banyak juga parti politik terbentuk untuk membela dan mempertahankan legasi dan ego individu.
“Tidak kurang untuk menjaga dinasti dan keluarga. Rakyat cuma pelapik dan alasan” katanya menerusi ciapan di Twitter miliknya.
Walaupun Annuar tidak menyatakan mana-mana parti, namun ciapan itu berkemungkinan mengenai penubuhan parti baru diasaskan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.
Ahli Parlimen Ketereh itu juga berkata, sesiapa pun bebas menubuhkan parti, namun ia akan dinilai rakyat.
“Sekiranya ia dilihat sebagai agenda nepotisme, kronisme dan peribadi, ia pasti ditolak. Lebih parah lagi kiranya ia bersekongkol dengan DAP. Pasti ditalkinkan awal,” katanya.

