Santhara Ahli Parlimen bukan Bumiputra pertama sertai Bersatu

0
3

Fitri Nizam

Ahli Parlimen Segamat, Dr Santhara Kumar hari ini mengesahkan bahawa beliau telah menyertai parti Bersatu selepas bertindak meninggalkan PKR enal bulan lalu.

Jelasnya, borang penyertaannya ke dalam Bersatu sudah pun dihantar kepada Setiausaha Agung, Datuk Seri Hamzah Zainuddin petang semalam.

“Saya telah menyerahkan borang keahlian seumur hidup kepada Setiausaha Agung Bersatu, semalam,” katanya pada sidang media di Kuala Lumpur, hari ini.

Tindakan Dr Santhara menyertai Bersatu menjadikan beliau adalah Ahli Parlimen bukan bumiputra pertama yang menjadi ahli parti didokong majoriti orang Melayu berkenaan.

Mengulas mengenai penyertaannya, beliau berkata faktor Bersatu yang lebih terbuka kepada semua kaum selain berteraskan Perlembagaan negara mendorongnya menyertai parti berkenaan.

“Saya terbuka hati tanpa tekanan atau paksaan dari mana-mana pihak, saya menyertai parti Bersatu dan saya telah mendapat restu daripada rakan-rakan perjuangan saya, (Datuk Seri) Mohamed Azmin Ali dan Zuraida Kamarudin,” katanya lagi.

Mengulas lanjut, Santhara menegaskan bahawa dia tidak keluar dari Parti Keadilan Rakyat (PKR), sebaliknya dipecat susulan prinsipnya ketika itu yang mempertahankan Dr Mahathir Mohamad sebagai perdana menteri.

Santhara kemudian menyokong Muhyiddin Yassin sebagai calon perdana menteri sebelum ini.

Santhara yang juga Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan berkata penyertaan itu menjadikan dia sebagai ahli Parlimen bukan Bumiputera tunggal sebagai ahli bersekutu Bersatu dan berhasrat untuk meneruskan hak dan perjuangan membantu masyarakat India dan minoriti lain.

Selain Santhara, anggota Parlimen yang turut dipecat daripada PKR sebelum ini ialah Azmin (Gombak), Zuraida (Ampang), Saifuddin Abdullah (Indera Mahkota), Kamaruddin Ja’afar (Bandar Tun Razak), Mansor Othman (Nibong Tebal), Rashid Hasnon (Batu Pahat), Ali Biju (Saratok), Willie Mongin (Puncak Borneo) dan Jonathan Yasin (Ranau).