Thaddius Unnip
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mengadakan mesyuarat khas berkaitan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah di Kota Kinabalu pada 17 Ogos ini.
Setiausaha SPR, Ikmalrudin Ishak, dalam kenyataan media hari ini, berkata mesyuarat di The Magellan Sutera Resort itu akan dipengerusikan oleh Timbalan Pengerusi SPR, Dr Azmi Sharom.
Katanya, ia bagi membincangkan tarikh penting urusan pilihan raya seperti tarikh Writ Pilihan Raya, Hari Penamaan Calon, Hari Pengundian dan Daftar Pemilih Terakhir Diperakui yang akan digunakan.
“Turut dibincang ialah persiapan lain yang diperlukan bagi melaksanakan pilihan raya berkenaan. Satu sidang media akan diadakan sejurus selepas mesyuarat itu,” katanya.

