Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) hari ini mengarahkan Surau Al Jannah di Seksyen 23 Shah Alam, ditutup serta-merta bagi semua operasi termasuk solat Jumaat, solat lima waktu berjemaah dan aktiviti pengimarahan yang Iain.
Ia susulan terdapat ahli jemaah surau itu yang mempunyai kontak rapat dengan individu disahkan positif Covid-19 yang ada kaitan dengan Kluster Sivagangga.
Menurut Jabatan Agama Islam Selangor menerusi surat notis penutupan sementara surau yang ditandatangani Pengarah JAIS memaklumkan hanya tiga petugas jawatan kuasa saja dibenar memimpin solat fardhu di surau terbabit.
Pada masa sama, operasi Sekolah KAFA Integrasi Al Jannah juga hendak ditutup berkuat kuasa serta-merta.
“Jawatan kuasa surau hendaklah memastikan individu berkenaan menjalani saringan ujian covid-19 dan melaporkan keputusan kepada jabatan ini.
“Proses nyahkuman hendaklah dilakukan serta-merta di seluruh kawasan surau dan Sekolah KAFA.
Jawatan kuasa surau diarah sentiasa memantau rapat perkara ini dan mengingatkan jemaah dan ahli kariah untuk meningkatkan langkah pencegahan yang dianjurkan pihak jabatan,” kata JAIS.
Menurut JAIS, surau berkenaan hanya boleh dibenarkan beroperasi semula setelah mendapat kebenaran.


