Thaddius Unnip
Umno Sabah meminta Kementerian Komunikasi dan Multimedia serta Kementerian Dalam Negeri mengambil tindakan terhadap mana-mana pihak menyebar propaganda memburukkan parti lawan yang semakin berleluasa menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.
Ketuanya, Datuk Seri Bung Moktar Radin, mendakwa propaganda jahat itu yang disebarkan menerusi portal dan media sosial tidak patut dibiarkan kerana boleh meracuni pemikiran rakyat.
Dakwanya, pendekatan itu digunakan Parti Warisan Sabah (Warisan) dan sekutunya bagi menimbulkan kebencian rakyat terhadap Umno dan parti lain yang tidak sehaluan dengannya.
“Perbuatan meracuni pemikiran rakyat, menyebar pembohongan serta menyalah guna kuasa dengan menggunakan jabatan dan agensi kerajaan tertentu patut segera dihentikan.
“Ini menjadi senjata sulit Warisan untuk menonjolkan apa yang dikatakan kebaikan dan keprihatinan terhadap rakyat,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau turut kesal dengan tindakan beberapa portal berita termasuk laman blog yang menjadi ‘senjata’ Warisan untuk menyebarkan propaganda bagi mempengaruhi pemikiran rakyat negeri ini.
Tegasnya, ia perbuatan tidak bertanggungjawab terutama dalam usaha mereka untuk menarik sokongan rakyat menjelang PRN.
“Saya perhatikan beberapa portal berita dan laman blog yang lebih menyokong Warisan banyak memburuk-burukkan parti lawan khususnya Umno dan Bersatu.
“Tindakan mereka itu bertujuan untuk mengelirukan rakyat kerana memberi maklumat yang tidak tepat dan salah terhadap kedua-dua parti yang dianggap seperti ‘adik-beradik’,” katanya.
Bung Moktar berkata, Warisan turut membuat ‘serangan liar’ terhadap parti lawan lain seperti Parti Solidariti Tanah Airku (Star); Parti Bersatu Sabah (PBS); Parti Cinta Sabah (PCS) dan beberapa parti lain bertujuan menaikkan populariti Warisan di mata rakyat.
“Portal dan laman blog ini termasuk di media sosial yang dikawal mereka memainkan peranan utama dalam menyerang Umno, termasuk kenyataan saya yang sering diputar belit bagi menimbulkan ketegangan dalam kalangan rakan komponen Barisan Nasional (BN) dan Bersatu.
“Justeru itu, saya berharap agar rakyat dapat berwaspada dan tidak mempercayai propaganda jahat yang disebarkan melalui portal dan laman blog sedemikian kerana ia berniat untuk meracuni pemikiran orang ramai di Sabah,” katanya.
Berikutan itu, Bung Moktar yang juga Ahli Parlimen Kinabatangan, berkata pihaknya akan memastikan semua Biro Penerangan, Wanita, Pemuda dan Puteri Umno mengaktifkan laman sosial masing-masing bagi menangkis isu dilemparkan lawan.
“Kita perlu aktifkan laman sosial untuk menyebarkan maklumat sahih kepada rakyat di semua bahagian bagi menangkis tohmahan dan fitnah yang mereka tularkan.
“Saya juga mahu semua ahli Umno dapat mengelakkan daripada membuat serangan peribadi kerana ia bukan budaya kita dalam berpolitik,” katanya.

