Nilam Oshman
Dewan Pemuda Ikatan Malaysia (DPIM) menggesa kerajaan Perikatan Nasional (PN) menegakkan keadilan, lebih prihatin dan peka berhubung kes kematian anggota bomba, Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim.
Ketua DPIM Parti Ikatan Bangsa Malaysia, Shahir Adnan berkata, pihaknya meminta kerajaan PN agar tidak melengahkan siasatan dan perbicaraan kes pembunuhan Muhammad Adib.
Menurutnya, pada 27 September 2019, Mahkamah Koroner Shah Alam telah memutuskankematian Muhammad Adib adalah akibat perbuatan jenayah yang dilakukan lebih dua atau tiga individu tidak diketahui.
“Allahyarham Muhammad Adib merupakan kakitangan kerajaan yang berkorban nyawa dalam melaksanakan tugasnya dalam menyelamatkan nyawa orang lain.
“Beliau bukanlah ahli politik, bekas menteri atau pemimpin mana-mana organisasi yang mempunyai pengikut yang ramai. Maka, tidak hairanlah, kes beliau kian dipandang sepi,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Shahir yang juga Naib Pengerusi Ikatan Kelantan berkata, sepanjang prosiding inkues bermula Februari 2019, seramai 30 saksi termasuk beberapa saksi pakar telah dipanggil memberi keterangan dengan 137 bahan bukti dikemukakan.
“Keputusan inkues menunjukkan kematian Muhammad Adib akibat perbuatan jenayah.
“Justeru, DPIM menggesa kerajaan PN untuk tidak menukar tuduhan terhadap 12 orang suspek utama daripada tuduhan membunuh kepada tuduhan lebih ringan seperti rusuhan.
“Keadilan harus diberikan kepada Allahyarham Muhammad Adib,” ujarnya.
Jelasnya, seksyen 143 Kanun Keseksaan adalah hukuman bagi mereka yang terlibat dalam sesuatu perhimpunan menyalahi undang-undang di mana pesalah hanya dihukum penjara tidak lebih enam bulan atau denda atau kedua-duanya sekali.
“Hukuman ini tidak setimpal dengan kematian Allahyarham Muhammad Adib, dan seakan-akan menghina keluarga beliau serta keseluruhan anggota penjawat awam,” katanya lagi.

