Petronas bukan milik PM, kata Wong Chen

0
2

[Parlimen] Ahli Parlimen Subang, Wong Chen mempertikaikan keputusan kerajaan tidak mahu meminda Akta Pembangunan Petroleum agar mengekang kuasa Perdana Menteri ke atas syarikat minyak negara ini.

Wong seperti dilaporkan Malaysiakini berkata beliau pernah membangkitkan perkara tersebut berkali-kali sebelum ini sejak pentadbiran Pakatan Harapan.

“Kuasa perdana menteri berlebihan dalam Petronas. Kita perlu tunggu. Malaysia perlu menunggu perdana menteri yang sangat komited untuk melakukan perubahan,” katanya dalam sidang media di bangunan Parlimen hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas jawapan lisan yang diterima dari Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed berhubung soalannya pada 4 Ogos lalu.

Berhubung soalan tersebut, beliau meminta Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyatakan adakah kerajaan akan meminda Akta Pembangunan Petroleum agar Petronas bertanggungjawab sepenuhnya kepada Parlimen dan untuk mengekang kuasa perdana menteri yang berlebihan.

Sementara itu, Mustapa dalam jawapannya berkata, kerajaan sentiasa prihatin atas prinsip tadbir urus yang baik bagi sesuatu agensi kerajaan, badan berkanun atau syarikat berkepentingan kerajaan berpandukan sistem perundangan sedia ada.

“Kerajaan Persekutuan sentiasa terbuka untuk meneliti perundangan dan dasar mengikut situasi dan cabaran semasa.

“Bagaimanapun, pada masa ini kerajaan tidak bercadang untuk meminda Akta Pembangunan Petroleum 1974,” menurut jawapan tersebut.