Pemuda Umno mahu kerajaan pertimbang penubuhan RCI Tabung Haji

0
2

Nurul Huda Abhar

Pemuda Umno meminta kerajaan pertimbangkan semula mewujudkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat dakwaan salah laku oleh pengurusan Lembaga Tabung Haji (TH) terdahulu.

Ketuanya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, rakyat berhak mendapat penjelasan tuntas dan telus mengenai pelbagai tuduhan penyelewangan sebelum ini.

“Walaupun RCI mengenai tabung haji bukanlah sebahagian janji kerajaan Perikatan Nasional (PN), rakyat berhak tahu mengenai tuduhan penyelewangan yang digembar-gembur oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH) terdahulu.

“Justeru, Pemuda Umno menuntut agar kerajaan PN dapat menilai kembali keputusan untuk tidak menubuhkan RCI ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Mengulas lanjut, beliau menyatakan hanya RCI mampu menghentikan polemik tuduh-menuduh atas segala penyelewangan dan penyimpanan terhadap urus niaga TH yang tiada kesudahan.

Selain itu, penubuhan RCI dapat mengembalikan keyakinan 9.3 juta pendeposit dan pelabur institusi terulung umat Islam tersebut.

Dalam masa sama, Ketua Pemuda UMNO Kuala Kangsar, Mustafa Shah Abdul Hamid menyokong pendirian Dr Asyraf Wajdi yang mahu RCI ditubuhkan bagi menyiasat dakwaan kes penyelewangan TH.

Ini kerana katanya, tuduhan berlaku penyelewengan terhadap badan ekonomi umat Islam berkenaan sesuatu yang amat berat dan menimbulkan kegusaran kepada pendeposit, malah mengikis keyakinan pelabur.

“Disebabkan dakwaan berlaku penyelewengan dan ketirisan menyaksikan beberapa aset dan perniagaan milik TH melalui anak syarikatnya telah dijual di bawah pentadbiran PH, kononnya bertujuan untuk menstruktur semula perniagaannya.

“Bukan sedikit nilainya, malah mencecah RM10 bilion dan ini pasti membabitkan kepentingan jutaan pendepositnya,” katanya.

Semalam di Dewan Rakyat, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Zulkifli Mohamad berkata kerajaan tidak bercadang untuk menubuhkan RCI.

Katanya, kerajaan hanya menimbangkan penubuhan jawatan kuasa petugas khas untuk mengkaji urus niaga TH jika ada keperluan dan jawatankuasa berkenaan akan dianggotai pakar untuk meneliti urus niaga terbabit agar menepati kepentingan TH.