Malaysia catat 15 kes baru Covid-19 hari ini

0
2

Sebanyak 15 kes positif Covid-19 dilaporkan setakat jam 12 tengah hari tadi, dengan jumlah kes di negara ini kini 9,038.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, berkata daripada 15 kes yang dilaporkan itu, lima adalah kes import dan 10 lagi kes tempatan.

Menurutnya, 10 kes tempatan itu ialah enam di Kedah iaitu daripada Kluster Sivagangga, (2) Negeri Sembilan, serta masing-masing satu di Kuala Lumpur dan Labuan.

“Sehingga hari ini, terdapat dua kes positif sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan satu kes yang memerlukan bantuan pernafasan.

“Adalah dimaklumkan bahawa tiada pertambahan kes kematian berkaitan Covid-19 dilaporkan pada hari ini.

“Justeru, jumlah kumulatif kes kematian Covid-19 di Malaysia kekal sebanyak 125 kes (1.385 peratus daripada jumlah keseluruhan kes),” katanya.

Mengulas Kluster Sivagangga, Dr Noor Hisham berkata, seramai 2,351 orang telah disaring sehingga 12 tengah hari tadi.

“Daripada jumlah ini 30 kes dikesan positif Covid-19, 1,617 didapati negatif dan 704 masih menunggu keputusan.

“Keenam-enam kes ini merupakan kes generasi kedua dalam kluster PUI Sivagangga. Saringan kontak rapat kes-kes positif ini dan Active Case Detection diteruskan,” katanya.