PRN Sabah: Jangan jejas kerjasama PN

0
2

PRN Sabah | Usah keluarkan kenyataan yang boleh menjejaskan kerjasama dalam Perikatan Nasional (PN), kata Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Tan Sri Annuar Musa.

Beliau berkata, semua pihak perlu memberi ruang kepada pimpinan parti untuk membincangkan segala perkara berkaitan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.

Katanya, PRN Sabah diadakan dalam keadaan agak mengejutkan justeru PN, Muafakat Nasional (MN) dan Umno Sabah perlu membincangkan perkara itu dengan teliti.

“Kenyataan dikeluarkan individu tertentu berhubung jumlah kerusi yang akan ditandingi masih terlalu awal. Ia hanya menimbulkan kesulitan kepada parti yang akan bertanding nanti.

“PN belum mengadakan sebarang perbincangan berhubung jumlah kerusi yang mahu ditandingi dan pihaknya akan berusaha sebaik mungkin bagi memastikan berlaku pertandingan satu lawan satu saja dalam PRN itu,” katanya kepada media hari ini.

Terdahulu, Ketua Badan Pimpinan Bersatu Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor, menyatakan hasrat untuk bertanding di 45 daripada 73 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam PRN Sabah kelak.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin pula berkata parti itu akan bertanding di 32 kerusi yang ditandingi pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) dan sedia meletak calon di kerusi yang baru wujud.

Annuar berkata, terdapat tiga aspek unik yang perlu diberi pertimbangan oleh parti dalam PN kerana ia membabitkan legasi Umno dan Bersatu di Sabah.

“Pertamanya dari sudut Umno. Kita memutuskan Umno Sabah ada autonomi mereka sendiri. Maka untuk membuat sebarang keputusan dasar, perlu tunggu di pihak Umno Sabah.

“Kedua, struktur BN di Sabah juga berbeza sebab banyak parti politik yang dulu bersama BN, kini sebahagiannya sudah keluar parti.

“Aspek ketiga, hubungan antara Bersatu dan Umno. Umum tahu Bersatu Sabah ditubuhkan oleh mereka yang keluar daripada Umno,” katanya.

Justeru, katanya, PN perlu meneliti dengan baik ketiga-tiga aspek ini ketika rundingan dilakukan oleh pucuk pimpinan kelak.