Fitri Nizam
Seramai 127 individu dikenakan kompaun pada hari pertama pelaksanaan pemakaian pelitup muka semalam.
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata Polis Diraja Malaysia (PDRM) menahan 315 individu yang dikesan ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) semalam.
“Daripada jumlah itu, seramai tiga individu telah direman manakala 312 individu pula
dikenakan kompaun.
“Antara kesalahan ingkar arahan PKP termasuk aktiviti yang tidak mengikuti prosedur operasi standard (SOP) seramai 38 orang, aktiviti dengan melibatkan kehadiran orang ramai yang menyukarkan
penjarakan sosial (150) dan tidak memakai pelitup muka (127),” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Kerajaan sebelum ini mengumumkan bermula 1 Ogos 2020, rakyat Malaysia diwajibkan memakai pelitup muka, khususnya ketika berada dalam pengangkutan awam dan kawasan sesak untuk membendung wabak Covid-19.
Individu yang gagal berbuat demikian akan dikenakan kompaun sebanyak RM1,000.
Dalam perkembangan berkaitan, Ismail Sabri berkata, PDRM telah mengambil tindakan terhadap 28 individu kerana didapati gagal mematuhi SOP kuarantin rumah yang ditetapkan.
“Sebanyak 2,263 pemeriksaan terhadap individu yang sedang menjalankan kuarantin wajib 14 hari di kediaman masing-masing (home quarantine).
“PDRM telah mengambil tindakan terhadap 28 individu kerana gagal mematuhi SOP home quarantine yang ditetapkan,” katanya.

