Aiman Hanif
Penyertaan Bersatu ke dalam Muafakat Nasional boleh menyelesaikan isu agihan kerusi serta mengelak pertembungan sesama sendiri dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) nanti.
Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman, berkata beliau amat mengalu-alukan penyertaan Bersatu ke dalam Muafakat Nasional.
Bagaimanapun katanya terserah kepada jawatankuasa induk Muafakat Nasional untuk memutuskan penyertaan Bersatu.
“Itu idea yang baik kalau sekiranya Bersatu sertai Muafakat Nasional, Alhamdulillah.
“Pembahagian kerusi, semua orang melihat ke situ, selesaikan dulu dari segi dasar.
“Dasarnya kita tidak mahu ada persaingan sesama kita dalam Perikatan Nasional (PN),” katanya ketika dihubungi hari ini.
Sebelum ini, Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memaklumkan yang Bersatu berhasrat untuk menyertai Muafakat Nasional.
Menurut Zahid, hasrat itu dimaklumkan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam pertemuan dengan Ahli Parlimen BN di Parlimen baru-baru ini.
Tajuddin berkata, melalui penyertaan Bersatu, mereka dapat memberi fokus menentang musuh sebenar.
“Ini akan mdapat menyelesaikan isu untuk ketiga-tiga parti bekerjasama bagi bentuk kerajaan sekarang dan akan masa datang.
“Saya mengalu-alukan penyertaan Bersatu untuk bersama Muafakat Nasional,” katanya.

