Dunia | Masjidil Haram dibersihkan 10 kali sehari sekali gus membantu melancarkan pergerakan jemaah haji, ketika kebimbangan terhadap penularan wabak Covid-19.
Memetik laporan Agensi, jemaah haji kembali ke Jambatan Jamarat, pada hari keempat untuk melontar jamrah, semalam, tanpa sebarang kes Covid-19 direkodkan di Tanah Suci itu.
Kementerian Kesihatan Arab Saudi berkata, status kesihatan jemaah berada pada tahap yang meyakinkan dengan tiada isu kesihatan awam dilaporkan musim ini.
Masjidil Haram dibersihkan dengan pembasmi kuman selepas jemaah selesai mengadakan Tawaf Al-Ifada pada hari ketiga.
Seorang mentor kesihatan yang bertanggungjawab dalam musim haji tahun ini, Dr Amani Al-Saadi, berkata status kesihatan jemaah dipantau daripada mula mereka meninggalkan tempat penginapan sehingga kembali pada hari terakhir.
Setiap jemaah dikhususkan tempat duduk khas dalam bas untuk mengurangkan kontak.
Selain itu, klinik kesihatan ditempatkan di setiap kompleks kediaman di mana doktor akan memeriksa kesihatan mereka dan membekalkan ubat yang diperlukan.
Sementara itu, jemaah dari Indonesia dikenali sebagai Farida adalah antara umat Islam beruntung kerana mendapat peluang menunaikan haji tahun ini.
Selain amat bersyukur kerana terpilih menunaikan haji, beliau menyifatkan mengerjakan haji pada musin ini sebagai ‘sesuatu yang sukar dipercayai dan tidak ternilai harganya’.
Beliau melahirkan kegembiraan dan kesyukuran kerana dapat menunaikan kewajipan sekali dalam seumur hidup ini.
“Ini adalah rahmat daripada Allah sebelum saya meninggalkan Arab Saudi. Ia diatur dengan sangat baik, saya mengucapkan tahniah buat Kementerian Haji dan Kementerian Kesihatan.

