Nurul Huda Abhar
Pertubuhan Pribumi Perkasa (Perkasa) mendakwa menerima khabar angin bahawa bekas Presiden Majlis Peguam, Datuk S Ambiga akan dilantik menjadi Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Setiausaha Agung Perkasa, Syed Hassan Syed Ali mendakwa peletakan jawatan Datuk Seri Ramlan Ibrahim sebagai ahli suruhanjaya itu berkuat kuasa Jumaat lalu, sebagai protes terhadap cadangan untuk melantik Ambiga sebagai Pengerusi SPR.
“Perkasa berharap khabar ini tidak benar. Perkasa berharap Perdana Menteri tidak teruskannya jika ia berita benar.
“Saya percaya semua NGO Islam dan Melayu menentangnya sama sekali. Pejuangan sebuah kerajaan Melayu hanya retorik sahaja jika lantikan ini menjadi kenyataan,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Kenyataan ringkas Unit Komunikasi Korporat SPR kelmarin menyatakan peletakan jawatan Ramlan mendapat perkenan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Pada Jun 2018, Ambiga yang juga pengerusi BERSIH dilaporkan berkata beliau tidak berhasrat menjadi pengerusi SPR yang baharu, susulan cadangan daripada BERSIH.

