Tawaran AMD: Khalid berbelah bahagi, ada pihak dakwa Khalid tak layak

0
2

Legenda Perak, Khalid Jamlus mendedahkan dia berbelah bahagi sama ada menerima tawaran sebagai jurulatih di Akademi Bolasepak Mokhtar Dahari (AMD) di Gambang, Pahang atau mencari pasukan di Lembah Klang.

Katanya, hasil pertemuan dengan Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal tempoh hari, dia dihubungi Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ahmad Shapawi Ismail.

“Saya diberi tawaran oleh Datuk Shapawi untuk ke Pahang (AMD). Tetapi saya masih fikirkan kerana dulu (ketika bergelar pemain profesional) saya kerap tinggalkan anak dan isteri selama dua ke tiga tahun untuk bermain bola.

“Bila dah usia begini, saya perlu fikir secara mendalam kerana tak mahu lagi berjauhan dengan mereka. Mungkin pilihan yang lebih baik, saya harap ada pasukan di Lembah Klang agar dekat dengan keluarga,” katanya seperti dilaporkan Harian Metro.

Bekas pemain kebangsaan itu berkata, perancangan yang sedang diusahakannya adalah mengambil kursus kejurulatihan lesen A dalam masa terdekat.

“Apapun, walau pasukan mana sekalipun tumpuan sekarang adalah nak ambil dulu lesen A. Lagipun, Datuk Shapawi kata kalau saya terima jawatan itu, kena ada lesen A juga walaupun sudah ada lesen B.

“Jadi saya akan fokus kepada kursus jurulatih buat masa ini dan nama pun saya sudah daftar cuma tunggu saja untuk ikutinya. Selepas itu, tahun depan kita tengok macam mana, kalau dapat pasukan yang dekat sini lagi baik,” katanya.

Sementara itu, Vocket FC melaporkan tawaran yang diberikan kepada Khalid menerima kritikan daripada pelbagai pihak khususnya di laman media sosial.

Pengurus besar salah satu akademi ternama di Lembah Klang, Little League Soccer iaitu Shazwan Wong menyatakan posisi jurulatih AMD adalah satu perkara yang serius.

Kata Shazwan, tawaran yang diberi turut dilihat sebagai meremehkan segala usaha jurulatih yang sudah berada di AMD sejak hari pertama.

Bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP), Safirul Abu Bakar pula berpendapat tugas sebagai jurulatih di peringkat akar umbi bagi kumpulan pemain elit adalah bukan satu tugas yang biasa.