PKP: Peniaga kecil pasti gulung tikar

0
3

Fitri Nizam

Covid-19 | “Perniagaan yang besar pun boleh terjejas hingga ‘gulung tikar’ apatah lagi kami yang kerdil ini,” kata Pengerusi Persatuan Peniaga Pasar Malam Bumiputra Shah Alam/Klang, Kamarul Nizam Razak.

Beliau berkata, lebih 400 peniaga pasar malam yang berdaftar di bawah persatuannya pasti akan terjejas teruk jika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan semula dalam masa terdekat.

“Walaupun PKP sudah ditamatkan namun kami sebagai peniaga pasar malam hanya dapat berniaga tiga kali seminggu kerana menggunakan sistem giliran bagi mengelak kesesakan.

“Bagaimanapun, ada peniaga masih lagi belum dapat membuka perniagaan mereka contohnya peniaga buah-buahan dan sayuran kerana sistem giliran ini akan membuatkan mereka rugi jika jualan tidak dihabiskan pada suatu masa.

“Bayangkan dengan apa yang kami dapat sekarang tiba-tiba kerajaan umumkan PKP semula, pasti perniagaan kami hancur,” luahnya ketika dihubungi Malaysia Post hari ini.

Kamarul Nizam Razak

Kamarul Nizam berkata, kebanyakan peniaga sepertinya hanya bergantung kepada jualan harian dan bantuan diberi kerajaan sepanjang wabak Covid-19 melanda negara, namun sudah pasti tidak mampu meneruskan kehidupan jika PKP dilaksanakan semula.

“Matilah kami yang berniaga kecil-kecilan ini jika PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) dilaksanakan semula,” katanya.

Bagi mengelak kawasannya menyumbang kepada penyebaran wabak berkenaan Kamarul Nizam berkata, pihaknya akan menguat kuasakan arahan kerajaan berkaitan pemakaian pelitup muka di kawasan awam serta penjarakan sosial.

“Persatuan akan mengeluarkan pekeliling baru untuk menguatkuasakan pemakaian pelitup muka di tapak pasar malam kami bagi menyokong usaha kerajaan,” katanya.