Moratorium: Institusi perbankan dapatkan maklum balas peminjam

0
2

Fitri Nizam

Parlimen | Institusi perbankan dilaporkan secara proaktif sedang giat menghubungi peminjam mereka yang terjejas akibat wabak Covid-19 bagi membolehkan bantuan bersasar dilaksanakan.

Dalam jawapan kepada Lim Guan Eng (PH-Bagan), Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata dengan pembukaan semula sektor ekonomi selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ditamatkan, ada individu yang mampu membayar semula pinjaman seperti biasa.

Bagaimanapun, katanya, masih terdapat peminjam yang tidak mampu kerana kehilangan pekerjaan atau disebabkan sektor ekonomi mereka yang terjejas.

“Bagi golongan ini, bantuan yang bersasar akan dipertimbangkan oleh institusi perbankan.

“Izinkan saya berkongsi bahawa bank-bank ini secara proaktif sedang giat menghubungi peminjam,” katanya di Parlimen hari ini.

Beliau berkata, kerajaan menerusi Bank Negara Malaysia (BNM) turut memantau kemajuan usaha dilaksanakan institusi perbankan, Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) dan Skim Penyelesaian Pinjaman Kecil (SPPK) bagi peminjam yang layak terus mendapat bantuan sewajarnya.

“Usaha membantu peminjam perlu diseimbangkan dengan usaha bagi memastikan institusi perbankan kekal berdaya tahan agar mampu terus membiayai kegiatan ekonomi dan menyokong proses pemulihan ekonomi,” katanya.

Sektor perbankan dianggarkan mengalami kerugian sebanyak RM6.4 bilion bagi enam bulan moratorium dilaksanakan.

Tengku Zafrul berkata, institusi perbankan memberikan komitmen untuk terus membantu rakyat dan perniagaan yang memerlukan dalam tempoh mencabar ini.

“Dalam perbincangan yang sedang diadakan sekarang dengan BNM dan sektor perbankan mengenai hala tuju ke hadapan, mereka memberi komitmen untuk terus bantu rakyat dan perniagaan. Insya-Allah jawapan akan diberikan dalam masa terdekat,” katanya.