Wan Faizal Ismayatim
Covid-19 | Walaupun kes baharu harian menunjukkan penurunan semalam berbanding kelmarin dan Jumaat, kes jangkitan tempatan masih lagi tinggi.
Menurut Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), kes jangkitan tempatan semalam masih lagi mencatatkan dua angka, iaitu 10 kes.
Daripada 10 kes itu, tujuh dicatatkan di Johor (enam warganegara), masing-masing satu di Pahang, Sarawak dan Sabah yang mana semuanya adalah warganegara Malaysia.
Kelmarin, sebanyak 23 kes harian dilaporkan dengan 17 daripadanya adalah penularan tempatan iaitu lapan di Sarawak, enam di Johor, dua di Selangor serta satu kes di Kuala Lumpur.
Berikutan itu, KKM menerusi Facebooknya berkata kerajaan akan memperketatkan semula prosedur operasi standard (SOP) yang akan diumumkan hari ini.
“Kerajaan juga bersedia untuk mengembalikan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) jika kes baharu meningkat kepada tiga digit,” kata KKM.
Semalam, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata kerajaan tidak teragak-agak melaksanakan semula PKP jika kes harian Covid-19 meningkat kepada tiga angka.
Katanya, kerajaan tiada pilihan melainkan menguat kuasakan semula PKP sekali gus mengehadkan pergerakan orang awam jika kes terus meningkat.
Beliau berkata, sudah empat hari berturut-turut setakat kelmarin kes positif Covid-19 meningkat dan berdasarkan laporan KKM ia disebabkan kealpaan sendiri.

