DEWAN Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengesahkan lelaki yang melakukan vandalisme dengan menggunting Jalur Gemilang di beberapa lokasi di ibu negara telah berjaya ditangkap.
Menurut laman Facebook rasmi DBKL, lelaki itu telah diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya.
“Baru-baru ini Min (admin) ada laporkan tentang beberapa tindakan vandalisme yang melibatkan kejadian Jalur Gemilang dirosakkan di beberapa lokasi pemasangannya di pusat bandar.
“Jadi hari ni, Min nak update yang pelakunya telah dikenalpasti dan ditahan seterusnya diserahkan ke IPD Dang Wangi untuk tindakan lanjut,” katanya.
Terdahulu, media melaporkan polis melancarkan gerakan mengesan seorang lelaki yang menggunting dan merosakkan Jalur Gemilang yang dipasang di sekitar kawasan Pusat Pelancongan Malaysia (MaTiC) di ibu negara, selepas perbuatannya tular di media sosial malam semalam.
Menerusi video berdurasi 38 saat di TikTok memaparkan perbuatan pelik seorang lelaki berbaju merah lengan panjang dan topi biru menggunting dan merosakkan beberapa Jalur Gemilang. – Malaysiapost

