Bot Kelas A ditahan kerana tangguk siput retak seribu secara haram

0
1

SEBUAH bot bersama enam nelayan ditahan oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) di kedudukan 2.5 batu nautika dari barat Sungai Padang, Perlis, semalam selepas dipercayai menangkap hasil laut secara haram.

Pengarah Zon Maritim Kuala Perlis, Komander Maritim Mohd Hashim Mat Zain, berkata dalam kejadian jam 11,45 malam itu, turut dirampas hasil tangkapan siput retak seribu yang anggarkan bernilai lebih RM100,000.

Menurutnya, bot ronda Maritim Malaysia telah tiba di lokasi bot berkenaan setelah menerima maklumat orang awam melalui Pusat Operasi Zon Maritim Kuala Perlis mengenai pencerobohan yang dilakukan oleh bot menangkap siput.

“Menyedari kehadiran pihak berkuasa awak-awak bot Kelas A berkenaan segera memotong tali tangguk yang digunakan untuk menangkap hasil siput retak seribu bagi menghapuskan bukti atau mengelak peralatan disita.

“Setelah diperiksa, bot tersebut berpangkalan di Jeti Kuala Kedah dan menceroboh masuk ke Perairan Perlis serta melakukan aktiviti menangguk siput retak seribu secara haram tanpa kebenaran,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, ketika ditahan bot tersebut dikemudikan oleh seorang tekong dan lima awak-awak kesemuanya warga tempatan yang berusia lingkungan 21 hingga 50 tahun.

“Kesemua awak-awak termasuk tekong, bot dan hasil tangkapan siput yang anggarkan mempunyai nilai lebih RM 100,000 tersebut dibawa masuk ke jeti Zon Maritim Kuala Perlis dan diserahkan kepada pegawai penyiasat untuk tindakan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Akta Perikanan 1985 Seksyen 8 (b) kerana melanggar syarat sah lesen dan Seksyen 29 akta yang sama,” katanya.

Menurutnya, walaupun rondaan penguatkuasaan kerap dilaksanakan, aktiviti pencerobohan kawasan perikanan bagi tujuan menangkap siput secara haram masih berlaku di negeri berkenaan.

“Hal ini dipercayai kerana negeri Perlis merupakan habitat pembiakan baka siput retak seribu. Zon Maritim Kuala Perlis berterima kasih kepada orang awam yang memberikan maklumat salah laku jenayah maritim.

“Sebarang laporan, aduan dan kecemasan di laut boleh terus menghubungi Maritim Malaysia di talian 24 jam iaitu MERS 999 dan Pusat Operasi Zon Maritim Kuala Perlis di talian 04-9851072 atau 04-9851162,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here