PRU15: PAS sedia kerjasama dengan mana-mana parti kecuali PH

0
2

PAS menjangkakan 27 kerusi Parlimen berpotensi dimenangi Pakatan Harapan (PH) sekiranya tidak wujud persefahaman antara Perikatan Nasional (PN) dan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Sehubungan itu, Timbalan Presidennya, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, berkata parti itu terbuka untuk bekerjasama dengan mana-mana parti politik selain Pakatan Harapan (PH) untuk menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

“Kerana itu saya melihat perlunya ada kerjasama menyeluruh (antara PN dan BN) yang kami harapkan tetapi PAS bersedia, jika sekiranya BN buat keputusan sebagaimana yang sudah diumum, kami bersedia untuk berlawan (dengan BN),” katanya selepas Himpunan 5K dan Pelancaran Jentera Pilihan Raya PAS Melaka, malam tadi.

Sementara itu, dalam hantaran ringkas di Facebook, Tuan Ibrahim berkata, PAS Melaka bersedia menghadapi PRU15 dalam apa jua kemungkinan sekalipun.

“PAS Melaka telah membuktikan kekuatan dalam PRN yang lalu. Kita mengharap nusrah Allah agar PRU Ke15 kali ini, PAS Melaka akan melakar sejarah baharu,” katanya.

Mengulas mengenai penggunaan logo parti itu pada PRU-15 nanti, Tuan Ibrahim berkata, secara prinsipnya PAS akan menggunakan logo PN dan akan membincangkannya secara spesifik.

“Mengenai logo, ada permintaan yang parti terima daripada negeri pantai timur khususnya yang mereka mencadangkan penggunaan logo parti, tetapi ini perlu dibincang dan diperhalusi pada peringkat kepimpinan parti,” katanya.

Sebelum ini, Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan menegaskan BN kekal dengan keputusan untuk bergerak secara solo bagi menghadapi PRU15.

Beliau juga yakin BN akan menang lebih banyak kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen, sekali gus kembali memerintah negara. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here