KOMPAUN sebanyak RM250 dikenakan terhadap premis perniagaan di sekitar bandaraya Ipoh, Perak sekiranya gagal memasang Jalur Gemilang pada bulan kemerdekaan.
Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin, berkata inisiatif tindakan itu bertujuan memberi kesedaran berhubung kepentingan dan nilai kemerdekaan, sekali gus menyemarakkan sambutan hari kemerdekaan negara.
“Kita akan menyerahkan notis pemasangan bendera kepada premis perniagaan petang ini (semalam).
“Kompaun sebanyak RM250 akan diberikan kepada premis perniagaan yang gagal mematuhi arahan memasang Jalur Gemilang ketika sambutan merdeka,” katanya seperti dilapor Berita Harian.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Pelancaran Kibar Jalur Gemilang Peringkat Majlis Bandaraya Ipoh 2022 di Bangunan MBI, hari ini.
Bagaimanapun Rumaizi menjelaskan, pendekatan berbentuk nasihat akan diberikan terlebih dahulh kepada pemilik premis yang tidak memasang Jalur Gemilang sebelum kompaun dikenakan jika terus berdegil.
“Pendekatan itu diambil tertakluk mengikut Seksyen 107(2) Akta Kerajaan Tempatan, kerana melanggar syarat lesen seperti syarat am yang tertera di belakang setiap lesen premis perniagaan.
“Memang akan ada tindakan kompaun, tetapi biasanya kita akan menasihati pemilik premis terlebih dulu,” katanya.
Rumaizi berkata, pihaknya juga menggalakkan penduduk mengibarkan bendera sepanjang bulan kemerdekaan ini.
“Apa yang paling penting semangat dan jiwa kita untuk menyambut kemerdekaan itu lebih utama,” katanya. – Malaysiapost

