Ben Ibrahim
SELEPAS dua hari dilaporkan hilang ketika mandi di Sungai Triang, dekat pasar ayam Kerayong, Bera, mayat remaja dan kanak-kanak malang itu akhirnya ditemui malam dan awal pagi tadi.
Pemangku Ketua Polis Daerah Bera, Deputi Superintendan N Kumaran berkata, mayat mangsa pertama berusia 15 tahun ditemui sekitar jam 10.25 malam tadi, manakala mayat kedua- kanak-kanak berusia 11 tahun- pula ditemui jam 1.30 pagi.

“Pasukan mencari dan menyelamat terdiri pegawai dan anggota polis, bomba dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) menemui mangsa pertama kira-kira 70 meter dari lokasi dilaporkan hilang.
“Mangsa kedua ditemui kira-kira 300 meter dari lokasi dia hilang pada Selasa lalu.
“Mayat kedua-dua mangsa sudah dihantar ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah, Temerloh bagi tujuan bedah siasat,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Selasa lalu, Muhammad Nik Iqmal Shah Ismail, 15, dan rakannya, Muhammad Danial Irsyad Norazlan, 11, dikhuatiri lemas selepas dihanyut arus ketika mandi di Sungai Triang berhampiran Pasar Ayam Kerayong.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 4.52 petang sebelum pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Triang bergegas ke lokasi kejadian.
Katanya, operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa turut dibantu Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) Bukit Angin yang tiba kira-kira sejam kemudian.
“Operasi dijalankan dengan membuat pemantauan di sekitar lokasi kejadian dan tinjauan menerusi pencarian di permukaan sungai dengan menggunakan bot fiber dan bot aluminium bomba,” katanya. – Malaysiapost

