4,053 pegawai perubatan, pergigian dan farmasi dapat lantikan jawatan tetap

0
3
PUTRAJAYA, 9 Sept -- Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin pada sidang media di Kementerian Kesihatan hari ini. --fotoBERNAMA (2021) HAK CIPTA TERPELIHARA

SERAMAI 4,053 pegawai perubatan, pegawai pergigian dan pegawai farmasi berjaya ditawarkan lantikan pejawatan tetap oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA).

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin, berkata pemakluman keputusan pengambilan secara tetap bagi pegawai pergigian dan pegawai farmasi telah dibuat pada Isnin lalu, manakala bagi pegawai perubatan pula dibuat semalam.

Beliau berkata, lantikan itu adalah susulan daripada keputusan Jemaah Menteri pada February lalu untuk mewujudkan sejumlah 4,186 perjawatan tetap tambahan bagi tahun 2022 membabitkan 3,586 jawatan pegawai perubatan, 460 jawatan pegawai pergigian dan 400 jawatan pegawai farmasi.

“Susulan keputusan ini, iklan pengambilan secara tetap jawatan-jawatan berkenaan telah dikeluarkan mulai 1 hingga 15 Mac lalu, manakala temuduga dilaksanakan mulai 8 hingga 30 Jun lalu.

“Pelantikan secara tetap ini adalah selaras dengan keputusan kerajaan yang prihatin dengan keperluan sumber Manusia Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, pegawai yang berjaya boleh memuat turun surat tawaran pelantikan secara tetap daripada portal Sistem Tawaran Pelantikan (MySTP) SPA mulai 29 Ogos ini.

Beliau berkata, KKM akan membuka sistem e-placement mulai pertengahan September ini bagi membolehkan pegawai berkenaan membuat pemilihan sendiri penempatan secara dalam talian.

“Pemakluman mengenai tarikh sistem ini dibuka akan dikemukakan kepada pegawai terbabit satu minggu lebih awal menerusi e-mel dan tarikh kuatkuasa untuk melapor diri bertugas adalah pada 17 Oktober 2022,” katanya.

Khairy berkata, pengambilan seramai 4,053 pegawai ini adalah urusan pengambilan jawatan tetap yang terbesar dilaksanakan sejak pelantikan secara kontrak bagi jawatan-jawatan berkenaan pada 2016 dan juga adalah perjawatan tetap tambahan yang pertama kali dilaksanakan sejak 2015.

“KKM ingin mengucapkan tahniah kepada yang telah ditawarkan pelantikan tetap.

“Bagi pegawai yang tidak dilantik secara tetap, perkhidmatan kontrak mereka masih diteruskan mengikut kontrak berkuatkuasa,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here